NOVEL SEJARAH : CINTA BANGSAWAN
By SALMIAH KASMUNI
Cinta Bangsawan mengisahkan sejarah Johor dengan tumpuan kepada ketokohan Sultan Abu Bakar bin Temenggung Daeng Ibrahim (1833 – 1895), Sultan Johor yang pertama. Sejarah perebutan takhta di Pahang, penglibatan Inggeris di Johor, Perang Jementah (1879), pembukaan dan pembangunan Muar Bandar Maharani serta perkahwinan diraja dengan kerabat Turki turut dipaparkan dalam novel ini.
Ketokohan dan kejayaan Sultan Abu Bakar sejak remaja dalam menghadapi pengaruh Barat di Johor sehinggalah baginda digambarkan sebagai pembangun negeri Johor dari segi ekonomi, bidang perindustrian, mahupun dalam pertanian. Kebijaksanaan baginda turut terserlah dalam aspek pentadbiran dengan cara menubuhkan pelbagai jabatan. Baginda menggalakkan anak-anak Johor menuntut ilmu ke peringkat yang lebih tinggi. Ketokohan Sultan Abu Bakar yang sangat terpuji dan berpengaruh ini, menjadikan baginda digelar sebagai Bapa Pemodenan Johor.
